Thursday, January 13, 2011

Tokoh Kampung Batu 6 Bakri

     Kampung Batu 6 telah melahirkan beberapa tokoh agama terkenal seperti Cikgu Mohd Amin bin Hj Sirat, Cikgu Mohd Dali bin Melan, Cikgu Ali bin Hj Adnan dan Cikgu Mesbah bin Abdul Majid.  Kerana ilmu mereka yang luas serta mukim Bakri belum melahirkan ramai cerdik pandai agama Islam pada ketika itu, keempat-empat guru agama ini banyak menaburkan ilmu di surau-surau dan masjid-masjid sekitar mukim Bakri semasa hayat mereka.
Allah yarham Cikgu Ali Hj Adnan (berdiri hadapan nombor 2 dari kiri) dan Allah yarham Cikgu Md. Amin Hj. Sirat (berdiri hadapan kanan sekali) semasa menghantar penegantin anak Cikgu Mohd Dali
Allah yarham Cikgu Mohd Dali diapit dua orang anaknya
Cikgu Misbah Abdul Majid di rumahnya



Allah yarham Cikgu Ali Hj Adnan bersama isteri, Pn Ruminah Hj Sirat semasa melawat Pulau Pinang dalam tahun 1985

Cikgu Mohd Amin adalah guru yang paling tua, Cikgu Mohd Dali dan Cikgu Ali pernah berguru dengan beliau semasa mereka menuntut di Sekolah Agama Simpang Jeram.  Isteri Cikgu Mohd Dali dan isteri Cikgu Ali merupakan adik-beradik yang sama-sama menuntut dengan Cikgu Mohd Amin (abang mereka) di Sekolah Agama Simpang Jeram.
Keadaan telah berubah dan Kampung Baru turut merasai nikmatnya apabila turut mengalami kemajuan yang pesat.  Pada sekitar awal tahun-tahun 80an, beberapa projek perumahan baru telah dibina dalam kawasan Kampung Batu 6 Bakri seperti Taman Bakri Indah, Kampung Kenangan Datuk Abdullah Jaafar, Taman Bakri Jaya, Taman Medan Bakri, Taman Bakri Mulia, kawasan perindustrian Batu 7 dan Batu 8.
Pada tahun-tahun 60an dan 70an, pentadbiran Kampung Batu 6 Bakri diletakkan di bawah Kampung Parit Zin, Ketua Kampungnya En. Amin bin Abdul. Selepas beliau bersara, tempat beliau diganti oleh Tn. Hj. Mesbah bin Abdul Majid dan seterusnya Tn. Hj. Rahiman bin Sarmon.  Kemudian pengurusan kampung-kampung dikemaskini pada 2008 yang mana Kampung Batu 6 Bakri wujud sebagai salah satu daripada tujuh kampong-kampung di dalam Mukim Bakri, dengan ketua Kampung pertamanya En. Mohd Nazir bin Hj. Daim, ketua Kampung yang ada sekarang
Sekarang, Kampung Batu 6 dan Kampung Baru semakin moden dan penduduknya tidak lagi bergantung hidup kepada bidang pertanian semata-mata.  Generasi baru kini ramai yang telah menjawat jawatan-jawatan dalam perkhidmatan kerajaan seperti guru, pegawai dan pekerja pejabat serta sektor swasta.  Kebanyakan kawasan kebun getah juga telah ditebang dan dibina rumah-rumah generasi era tahun 2000, rumah batu.  Sesuatu yang membanggakan, penduduk kampung ini masih mengekalkan adat budaya melayu yang positif yakni semangat bergotong-royong dalam menjayakan aktiviti-aktiviti kampung walau pun telah menikmati arus kemodenan.